Thursday, June 16, 2011

Kebutaan hati adalah kebutaan hakiki


Terdapat seorang lelaki yang buta, hidup dengan bahagia bersama isterinya yang amat dicintai, dan anak lelakinya yang pengasih dan penyayang, serta temannya yang setia. Namun satu hal yang membuat hidupnya tidak tenang ialah kegelapan yang menyelubungi kehidupannya. Dia berharap mampu melihat cahaya dan segala-gala yang membuatnya bahagia dengan matanya sendiri.

Lalu datanglah seorang doktor yang pintar, mengunjungi bandar yang didiami oleh orang buta ini. Dia pergi menemui doktor tersebut untuk meminta ubat agar mampu mengembalikan penglihatannya. Maka doktor tersebut memberinya ubat titisan dan mengajarnya bagaimana untuk menggunakannya, sambil memberi amaran bahawa dia akan berupaya melihat dengan serta merta, pada bila-bila masa sahaja.

Orang buta tersebut terus menggunakan ubat ini, meskipun orang lain langsung tidak yakin bahawa ia mujarab dan berupaya membuahkan hasil. Namun, selang beberapa hari semasa berada di dalam tamannya, dia mula terlihat cahaya. Dia sungguh merasa teruja dan gembira, lantas berlari mendapatkan isterinya yang tercinta untuk berkongsi berita gembira ini. Alangkah sedih dan malang baginya, kerana sebaik penglihatannya pulih, dia melihat si isteri sedang berselingkuh dan berlaku curang dengan temannya di dalam bilik tidurnya. Dia langsung tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Kemudian, dia berlari ke bilik lain dan terkejut apabila mendapati anaknya sedang mencuri sesuatu dari almarinya.

Akhirnya, orang buta itu menyusuli semula langkahnya tadi, sambil berteriak: “Ini bukanlah seorang doktor, dia adalah seorang tukang sihir yang terlaknat!” Lalu dia mengambil sebatang pin dan mencucuk kedua matanya! Akhirnya, dia kembali semula kepada kebahagiaan yang pernah dikecapinya sebelum ini.

No comments:

Post a Comment