Seorang lelaki telah bertengkar
dengan isterinya dan telah berkata: “Aku akan membuatmu sengsara!” Dengan sabar
dan tenang, si isteri telah menjawab: “Kamu tidak boleh berbuat begitu.”
Suaminya bertanya: “Kenapa tidak?” Isterinya menjawab: “Seandainya kebahagiaan
terletak pada kekayaan, wang ringgit atau emas permata, nescaya kamu mampu merampasnya
dariku, dan menghalangiku dari mendapatkannya, namun kebahagiaanku tidak mampu kamu atau orang
lain rampas dariku. Aku menemui kebahagiaan menerusi keimananku, dan keimananku
bersemayam dan bertakhta di dalam lubuk hatiku, dan tidak ada sesiapa yang
mampu menguasai hatiku kecuali Tuhanku.”
Inilah kebahagiaan hakiki,
kebahagiaan yang berasaskan keimanan, dan tiada seseorangpun yang berupaya merasakan
kebahagiaan ini kecuali orang yang cintanya begitu mendalam terhadap Allah s.w.t.
sehingga ia meresap ke dalam kalbunya, ke dalam jiwanya, dan ke dalam fikirannya.
Yang memiliki kebahagiaan secara hakiki adalah Allah Yang Maha Esa, maka
mohonlah kebahagiaan tersebut dariNya dengan menyembah dan taat kepadaNya.
Satu-satunya cara untuk
meraih kebahagiaan adalah dengan menggali dan mengenali agama yang benar ini,
yang mana Rasululllah s.a.w. diutus. Setelah seseorang itu menemui jalan
kebenaran ini, tidak penting baginya sama
ada dia tidur di dalam pondok yang kecil atau berbantalkan tanah di tepi
jalanraya. Cukup baginya mengalaskan perut dengan sekeping roti untuk menjadi manusia yang
paling bahagia di dalam dunia.
Namun, bagi mereka yang menyimpang dari jalan
ini, maka seluruh hidupnya akan dilanda kemurungan, kehibaan dan kepiluan,
hartanya dirampas, usahanya sia-sia semata-mata dan akhirnya dia akan
menanggung penghinaan.
No comments:
Post a Comment